Friday, November 5, 2010

Pidato : Pengguna Lestari, Alam Sekitar Terjaga Rapi

Hadirin hadirat sekalian,
Andai terbentang lautan api, berenang juga saya kemari. Bukan untuk meninggi diri, sebaliknya untuk sama-sama kita hayati mauduk pidato yang berbunyi Pengguna Lestari, Alam Sekitar Terjaga Rapi.
Assalamualaikum w.b.t , salam sejahtera, salam 1 Malaysia buat anda pengguna bijak. 1 pengguna 1 suara, apa khabar semuanya?

Tujuan utama tegak segaknya saya disini bukanlah sekadar omongan kosong semata-mata sebaliknya bagi mengupas satu demi satu helai demi helai satu isu yang saya kira telah menjadi baying-bayang kita sejak dahulu lagi Pengguna Lestari, Alam Sekitar Terjaga Rapi.

Terus kepada pendefinisian tajuk kita pada hari ini. Akta Perlindungan Pengguna 1999 menyatakan pengguna sebagai individu yang menggunakan barangan atau perkhidmatan. Dewan Bahasa Dan Pustaka pula menakrifkan Lestari sebagai kekal atau tidak berubah. Kamus Geografi secara umunya menyatakan alam sekitar sebagai kawasan persekitaran tempat manusia menjalani kehidupan. Manakala terjaga rapi saya takrifkan sebagai terpelihara dengan baik.

Justeru secara konseptualnya, tajuk kita pada hari ini membicarakan perihal pengguna bijak yang menggunakan barangan atau perkhidmatan dengan tidak melakukan kerosakan terhadap alam sekitar. Tuntasnya ia menuntut kita memahami tanggungjawab pengguna terhadap alam semulajadi melalui  tonggak kelapan hak pengguna iaitu mendapat alam sekitar yang bersih lagi selamat. Prolog kronologi saya pada hari ini berpaksikan langkah-langkah yang harus dilaksanakan pengguna lestari dalam memelihara alam semulajadi berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan iaitu : sokongan kepada kempen alam sekitar, mengehadkan penggunaan bahan kimia, menanam dan mengurangkan penebangan pokok dan yang terakhir mengelakkan pembakaran terbuka.

Pertama,
Sokongan serta melibatkan diri dalam kempen alam sekitar

Apabila berbicara soal kempen kita tidak boleh lari membincangkan konsep kempen itu sendiri iaitu memupuk kesedaran. Anologinya begini, andaikan kesedaran sebagai sistem pernafasan kita, sekiranya sistem ini terhenti maka kita akan mati. Dalam erti kata lain alam sekitar akan binasa. Pelaksanaan kempen yang berterusan melalui media massa dan elektronik  seperti Cintai Sungai Kita, Tabiat Tak Apa Bumi Binasa dan Kempen Kitar Semula cukup membuktikan bahawa ia merupakan wadah pendidikan pengguna terpenting. Selain itu, kempen Earth Hour yang telah dilancarkan pada tahun 2009 diseluruh dunia turut menjadi bukti bahawa ia dapat memupuk kesedaran dan tanggungjawab terhadap alam sekitar. Maka jelas disini bahawa pengguna lestari sentiasa memberi sokongan serta melibatkan diri terhadap kempen alam sekitar,

Kedua,
Mengehadkan penggunaan bahan kimia

Agensi Alam Sekitar Eropah menyatakan  kira-kira 12 % masyarakat Kesatuan Eropah terdedah kepada risiko dijangkiti penyakit berpunca daripada organisma dan bahan pencemaran yang berlebihan. Dapatan kajian Sharifuddin M Zain pula menunjukkan bahawa Pola Umum Indeks Kualiti Air (WQI) sungai-sungai di Malaysia termasuk Sungai Pinang di P. Pinang menunjukkan penurunan yang ketara. Melihat akan keadaan yang membimbangkan ini jelas menunjukkan peranan yang perlu dimainkan pengguna lestari iaitu mengehadkan penggunaan bahan kimia. Cuba elakkan menggunakan produk yang mengandungi Melamine  dalam isi rumah anda jika tidak mahu dijangkiti kanser!.

Ketiga,
Menanam dan mengurangkan penebangan pokok.

Lelaki atau perempuan, tua atau muda, miskin atau kaya, timur atau barat, utara mahupun selatan kita semua berhak menikmati pembangunan lestari. Persidangan Kemuncak Bumi 2002 di Afrika Selatan telah dilaksanakan bertujuan memperkukuh usaha-usaha pembangunan lestari dengan meminimumkan pemusnahan serta pembasmian hutan. Usul yang telah disepakati umum ialah menanam dan mengurangkan penebangan pokok. Justeru ingin saya lontarkan kepada anda satu persoalan sanggupkah anda melihat alam sekitar terus diterokai dan dinodai? Renung-renungkan. Maka bertindaklah secara local dan berfikir cara global. Wahai pengguna lestari, Anda mampu mengubahnya!

Yang terakhir,
Mengelakkan pembakaran terbuka

Kita semua mengetahui lagi memahami pelepasan karbon dioksida, sulfur dioksida, nitrogen dioksida serta pelbagai gas lain menyumbang kepada pencemaran. Tetapi mengapa seringkali kita terlupa? Pembakaran terbuka yang saya dan anda lakukan atas nama pembersihan kawasan merupakan penyumbang utama kepada penghasilan gas-gas tersebut. Lihatlah masalah jerebu yang kita alami tidak lama dahulu berpunca daripada pembakaran hutan secara terbuka dari negara jiran, Indonesia. Maka selaku pengguna lestari katakan tak nak pada pembakaran terbuka!

Kesimpulannya, marilah kita bersama-sama mengembeling tenaga, menyumbang usaha, bersatu suara, mengubah minda keluar dari buta, bisu, pekak dan tuli akan hak serta tanggunjawab kita sebagai pengguna lestari yang memelihara alam sekitar. Semoga kesedaran kuasa pengguna kita pada hari ini memberi ruang dan peluang untuk anak-anak kita menari, menyanyi, dan hidup didalam iklim harmoni. Sekian terima kasih.  

                             _____________________________________


Pidato ini disampaikan admin pada Sambutan Bulan Kepenggunaan anjuran Kementerian Koperasi Dan Kepengunaan di Universiti Sains Malaysia tidak lama dahulu.

2 comments:

  1. "Andai terbentang lautan api, berenang juga saya kemari. Bukan untuk meninggi diri...."

    intro yg sama aku guna utk pidato anak murid aku tyme praktikum.. hehehe.. youtube..

    ReplyDelete