Thursday, September 30, 2010

dia cita-cita saya..

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Penyayang

Lama saya "bercuti" daripada menggerakkan diri untuk duduk semeja berbincang, berdiskusi mendapat nasihat dari individu yang amat saya hormati jalan juangnya. Lagak beliau tak ubah seperti seorang teman sekalipun beliau usia beliau punya jurang yg agak lebar dengan diri ini. Selaku pemegang status Pensyarah yang bergelar Doktor(Ph D) sepanjang pengenalan saya dengan beliau tidak pernah lagsung beliau meninggi diri. Kali ini atas nama pertemuan bersama pimpinan, saya bersama sahabat-sahabat  bertemu dengan beliau. Selaku mantan siswa yg tegar memperjuangkan kalimah tauhid nasihat  beliau berkisar heraki dalam kehidupan jamaah. Dalam memberi nasihat perihal heraki beliau tidak pernah mengenepikan aspek kesufian, bertambah penghormatan saya terhadap beliau. Ada sesuatu yg menarik perhatian saya bersama seorang sahabat dalam pertemuan dengan beliau kali ini. Kisah as-syahid Sayyid Qutb diangkat sebagai pembakar semangat  kami anak-anak muda yang baru sahaja belajar menjejak kaki dalam ruang perjuangan memegang title da'ei. Selesai pertemuan dengan beliau tergerak hati saya mencari kisah as-syahid Sayyid Qutb. Alhamdulillah, hari ini saya dipertemukan dengan artikel berkenaan as-syahid Sayyid Qutb. Maka saya kongsikan artikel tersebut yg saya ambil dari  sini.

Wacana Memperingati as-Syahid Sayyid Qutb
Riduan Mohamad Nor   
As-Syahid Sayyid Qutb (29 Ogos 1966-29 Ogos 2010)

Ramadhan dinobatkan sebagai bulan pengampunan, bulan Al Quran juga bulan jihad dan pelbagai gelaran yang mengambarkan kebesaran dan kemuliaan penghulu bulan ini.Ramadhan tahun ini yang berlangsung di bulan Ogos juga tidak sepi daripada peristiwa penting di langit sejarah, antaranya pembunuhan kepada tokoh besar perjuangan Islam di abad moden iaitu Syed Qutb.

Syed Qutb ialah satu nama besar dalam sejarah pemikiran gerakan Islam pada abad ke 20. Sejak kematiannya pada tahun 1966, karya-karyanya telah disebarkan dan menjadi inspirasi kepada pendokong-pendokong gerakan kebangkitan Islam di seluruh dunia. Ianya telah menawan pemikiran dan komitmen generasi muda Islam untuk bekerja untuk Islam.
Nama sebenar Sayyid Qutb ialah Sayyid Qutb Ibrahim Hussain Shazali dan beliau berasal daripada keluarga yang berada dan dihormati di kampungnya di Moshah dalam wilayah Assyut di hulu Mesir. Beliau dilahirkan daripada rahim seorang muslimah yang menyintaiAl Quran. Ayahnya sangat mementingkan soal agama dan telah memberikan pengaruh kehidupan beragama yang sangat besar terhadap Syed Qutb kemudiannya.Oleh kerana asuhan keluarganya yang menitik beratkan pendidikan Al-Quran, maka Syed Qutb semenjak kecil lagi telah mengahafal Al-Quran dan beliau telah menghabiskan hafalannya ketika berusia 10 tahun. Dalam usianya 14 tahun, beliau telah berangkat ke Kaherah untuk menyambung pelajarannya dan beliau mendapat pendidikan tinggi di Darul Ulum. Beliau mengambil kursus-kursus Bahasa Arab dan Kesusasteraan, Ulum Al-Syariah, Sejarah dan Ilmu Pendidikan ( keduanya sedang saya dalami di IPG utara tanah air). Pada tahun 1933, Syed Qutb telah berjaya menamatkan pendidikannya di Darul Ulum dengan mendapat Ijazah sarjana Muda & Diploma Pendidikan.

Beliau telah memulakan kerjayanya sebagai guru di Bani Suif dan telah menceburi bidang kesusasteraan kerana minat beliau dalam bidang ini begitu mendalam. Syed Qutb adalah seorang penulis yang prolifik. Selain daripada menulis tentang tafsir Al-Quran, beliau telah mengarang sebanyak 24 buah buku serta banyak menyumbang karya-karyanya kepada majalah terutama majalah Ar-Risalah. Syed Qutb pernah dihantar oleh Kerajaan Mesir ke Amarika Syarikat untuk mengkaji sistem pendidikan tinggi di sana. Kehidupannya di Amarika walaupun singkat, telah memberi Syed Qutb beberapa pengalaman hidup dan pengajaran yang sangat penting seperti melihat prejudis kaum yang dahsyat di Amerika dan juga sokongan Amerika kepada penubuhan Israel yang cukup menyentuh perasaan Syed Qutb.

Kebejatan nilai dan keruntuhan akhlak serta tamadun kebendaan masyarakat Barat telah memberikan Syed Qutb satu pandangan semula tentang paradigma perjuangan, beliau merasa mual dengan tamadun Barat yang kosong spiritual. Beliau mula rasa terpanggil dan bertanggungjawab untuk memperjuangkan Islam sebagaimana yang diperjuangkan oleh Imam Hassan Al-Banna. Syed Qutb telah meletakkan jawatannya sebagai pegawai pendidikan apabila balik semula ke Mesir dan telah menyetai Ikhwanul Muslimin. Di awal penggabungannya dengan Ikhwan, sesuai dengan bakat dan kebolehannya dalam penulisan, beliau telah banyak menulis topik-topik berkaitan dengan Islam serta membandingkan dengan Ideologi-ideologi seperti komunis, sekular, fahaman kebangsaan dan kapitalisme. Beliau telah memperkenalkan Islam sebagai alternatif kepada kegagalan ideologi dan tamadun Barat.

Syed Qutb telah ditahan bersama-sama dengan ahli-ahli Ikhwan yang lain termasuk Zainab al Ghazali, Fattah ismail, Hamidah Qutb, Kamal saniri pada tahun 1954 apabila telah dituduh merancang untuk membunuh Gamal Abdul Nasser dan ternyata tuduhan ini adalah sangat jahat untuk menghalalkan kejahatan regim Mesir. Beliau telah dibicarakan dan telah dijatuhkan hukuman penjara dengan kerja berat selama 15 tahun. Dalam penjara inilah beliau telah menghasilkan karangannya tentang tafsir Al-Quran dan beberapa buah buku lain. Penjara tidak pernah mematahkan daya juang dan semangat yang ada pada dirinya untuk menyatakan kebenaran, jeriji penjara adalah nyanyian bisu yang melantunkan api semangat dan pencerahan. Setelah 10 tahun di dalam penjara, Abdul A’rif Al-Salam iaitu Presiden Iraq telah merayu kepada Gamal Abdul Nasser untuk membebaskan Syed Qutb dan beliau telah dibebaskan.

Beliau tidak serik untuk berdakwah dan meninta ilmu untuk mencerahkan akal manusia terutama beliau adalah ikon kepada aktivis muda Ikhwanul Muslimin. Regim Mesir dengan seluruh kekuatan aparat keamanan sentiasa mengintai pergerakan beliau dan teman-temannya.

Syed Qutb sekali lagi ditahan iaitu tidak sempat setahun setengah daripada tahun pembebasannya sebelum itu. Kali ini bukan untuk menerima hukuman penjara tetapi hukuman gantung sampai mati bersama-sama dengan 2 orang rakannya yang lain. 29 Ogos 1966 , menyaksikan kesaksian sebuah ikrar perjuangan sang mujahid dakwah, beliau tidak mahu merayu diatas hukuman yang telah dijatuhkan. ‘Kezaliman walau sekuat manapun akan hancur’ ujar Syed Qutb berpesan kepada kita semua, ‘ kebenaran walaupun kelihatan lemah namun ia akan muncul’ . Semboyan kebenaran akan terus memekik dan mencabar kezaliman thaghut di sepanjang zaman.



Begitulah kisahnya as-syahid Sayyid Qutb. As-Sayyid saya angkat sebagai cita-cita. Beliau yang bergelar Al-fadhil Dr. Nazmi b Desa saya angkat juga sebagai cita-cita. DIA CITA-CITA SAYA!!
                                                              as-syahid  Sayiid Qutb

                            Dr. Nazmi b Desa(bersongkok) dalam Majlis Pengumuman ke Ghaza, Palestin

Tuesday, September 28, 2010

Cerita Pilihan Raya Kampus dari Facebook..

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Penyayang


Hari ini sebaik sahaja saya buka laman sesawang mukabuku, ada sesuatu yg menarik perhatian saya sebagai seorang warga kampus. Imej pemberitahuan hari mengundi bagi Pilihan Raya Kampus IPG Kampus Ipoh tertera pada Profile picture seorang sahabat yang baru saya kenali ketika menjalani program School Base Experience di Sek. Keb. Bt 7, Kuala Woh Perak.Pelik tapi benar, itulah dunia IPG. Pilihan Raya kampusnya tidak punya musim khusus sebaliknya bergantung pada keadaan. Hasilnya jadilah rojak yang bukan rojak. Banyak perkara yg suka saya kongsikan berkaitan proses PRK sebenarnya. Bermula saat pembubaran kabinet J/MPP hinggalah proses memberi khidmat. Macam-macam cerita ada. Kali ini saya kongsikan apa yg sempat saya luahkan di ruang sesawang facebook saya. Terpulanglah untuk kita semua menilai. Untuk membaca klik sini

                                          

Saturday, September 25, 2010

Kata Orang dulu-dulu..di Seminar Masalah Kemerosotan Akhlak & Moral

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Penyayang


tett..

Kalu nak p, seminar Kat dwn Hjh rhani,pkul 8 kot

Sender:
2.na***
+60132796 ***

Sent:
07:40:14
25-Sept-2010





Ringkas sahaja mesej yang saya terima pada awal pagi  tadi. Namun apa yang bakal berlaku kesinambungan dari mesej tersebut tidak seringkas yang disangka. Jemputan secara tidak sengaja oleh seorang sahabat ibarat pucuk dicita ulam mendatang.

Seminar bosan doe! Ada makan free tak? Kena bayar ke? Lafaz mutlak yang acapkali singgah sebagai halwa telinga ini bilamana tawaran menghadiri seminar saya ajukan kepada rakan-rakan.Tetapi tidak bagi saya yang sememangnya mudah muak duduk di lecture hall (Wah!) mendengar kuliah dari pensyarah. Hakikatnya ia bukanlah alasan untuk saya mengikuti seminar ataupun pembentangan kertas kerja sebaliknya ingin mencari kelainan dalam proses berkhidmat sebagai khadam kepada segala macam ilmu. Satu perkara lagi saya sebenarnya mengimpikan untuk berada di pentas sebagai pembentang kertas kerja juga. Maka ilmu membentang perlu saya dalami terlebih dahulu. Lebih menarik  lagi seminar yang dianjurkan berkaitan dunia perguruan dan pendidikan.

                 ________________________________________________________

Dipersilakan pembentang seterusnya iaitu Saudara Nizal Mohammad, Aktivis Sosial yang merupakan Mantan Personaliti TV3, Mantan Pengacara Jejak Rasul dan Malaysia Hari Ini.




Satu demi satu hujah dikemukakan beliau. Segalanya menyentuh perihal peranan teachers or educators dalam mengenalpasti akar permasalahan soSIAL remaja. Sebaik selesai sesi pembentangan sampai kepada detik yang sangat ditakuti oleh kebanyakan pembentang amatur tetapi tidak bagi seorang intelek apatah lagi personaliti penyiaran iaitu  sesi Q&A. Seorang demi seorang peserta seminar mengemukakan soalan. Setelah keadaan agak(terlampau) tenang saya bangun mengemukakan persoalan ringkas yang saya nanti-nantikan jawapan dari individu yang bernama Nizal Mohamad ini.

"Bagaimana kita mahu mengatasi persepsi masyarakat yang sering memandang rendah kredebiliti guru muda yang bersemangat mahu merubah bangsa dan negara? "

Dengan penuh ketenangan beliau memetik kata-kata seorang mantan kipas politik tanah air "Saya tidak akan memandang pimpinan muda sebagai lemah kerana mereka punya pengalaman berbeza, tetapi pimpinan ini seharusnya tidak mengenepikan pimpinan lama". Apa yang beliau cuba kupas disini bagi menjawab persoalan saya ialah sebagai seorang guru seharusnya saya tidak cepat melatah dengan kerenah masyarakat dan jangan berlagak sombong dengan idea yang ada sebaliknya menuntutlah dengan orang lama yang punya pengalaman jauh apabila berada digelanggang. Dalam bahasa mudahnya sebagai orang muda sekiranya kita mahu mengatasi rintangan dan halangan hendaklah kita   mengambil pengalaman orang dulu-dulu. Kerana apa? kerana yang lama jangan disangka buruk yang baru jangan disangka baik. Diakhir kata  ketika menjawab persoalan saya saudara Nizal dengan tenangnya membacakan madah dipetik dari kata orang dulu-dulu.

Apa tanda manusia jati               Berkerja keras dimanapun jadi
Apa tanda menusia bertuah        Berkerja tidak bercabang lidah
Apa tanda manusia beradat       Menghadapi kerja hatiinya bulat
Apa tanda manusia pilihan         Berkerja tekun dijalan tuhan
Apa tanda manusia beradab      Dalam berkerja penuh tangunggugjawab
Mencari ilmu buangkan jemu     Mencari tahu buangkanlah malu..
Ini pesan orang dulu-dulu....
                                
               ______________________________________________________

Sangat menarik seminar kali ini. Selain para pembentang yang terdiri daripada profesional pelbagai bidang seperti Al-Fadhil Ust Mohd Rafidzi Zainal Abidin (Jab. Pelajaran. Perlis), Saudara Nizal Mohamad (Aktivis Sosial dan Mantan Personaliti TV3) dan Prof Madya Dr. Abd. Aziz Hj Yahya ( Dekan Syariah Kolej Universiti Insaniah) pengisian program yang pelbagai oleh pihak pengajur Jab. Penghayatan Islam & Moral (JAPIM) Inst. Pend. Guru Kampus Tuanku Bainun P.Pinang amat tepat pada masanya.

                                      
                                    Penulis, Sdra Nizal Mohamad & sebahagian keluarga JAPIM





Pada saya, kalau nak mengatasi masalah kerosakan akhlak & moral  ingat KATA ORANG DULU-DULU!

                                                       

Sunday, September 19, 2010

Perihal Raya : Berbudayakah kita? Bahagian 2

Adab Kena Jaga

sambungan..

Malam menginjak detiknya kepada jam 11.00. Masih terdapat kira-kira sepuluh buah rumah belum saya bersama-sama rombomngan surau melakukan kunjungan untuk bertakbir. Jam 11.15 malam, tiba giliran rumah salah seorang Tuan Imam surau Al-Falah. Kunjungan ke rumah beliau memang saya nantikan bukan untuk bertanya khabar sebaliknya menanti hidangan Mee Goreng Mamak. Ya, selalunya di bulan mulia Syawal khalayak mencari lemang, ketupat, lontong dan pelbagai jenis makanan yang tidak terdapat dibulan lain namun selera saya lain dari yang lain. Memang sudah menjadi tradisi rumah Tuan Imam tadi akan menyediakan Mee Goreng Mamak. Saya yang sejak dari tadi mengosongkan "tangki" amat teruja. Sebaik kaki melangkah masuk ke rumah Tuan Imam Alhamdulillah tepat jangkaan saya. Mee Goreng Mamak! I Like..haha. Setelah  "membantai" juadah yang tersedia seperti biasa bagun Tuan Imam untuk menyampaikan sepatah dua kata. Begitulah budayanya. Tuan rumah akan menyampai sepatah dua kata memohon ampun dan maaf kepada rombongan surau mewakili keseluruhan penduduk kampung setelah rombongan menjamah juadah yang disediakan.

"Saya sebagai tuan rumah mewakili seisi keluarga mengucapkan selamat hari raya aidilfitri,maaf zahir dan batin sekiranya ada yang terlanjur kepada seluruh penduduk"

Begitulah skrip yang biasa saya dengar sejak saya mula menyertai rombongan tersebut. Akan tetapi seakan ada kelainan yang berlaku dirumah Tuan Imam. Sempat beliau memberi nasihat kepada kamipara remaja dan kanak-kanak yang menyertai rombongan.

"Sekalipun kita menaiki motor besar, kereta besar dan segalanya besar jangan kita berlagak sombong. Hormatilah orang tua, mereka tidak minta kita tunduk memberi penghormatan tetapi cukup sekadar menyampaikan kuntuman senyuman".

Ringkas tetapi cukup bermakna kepada saya. Kerana apa? perihal hormat-menghormati dan sifat sombong sebenarnya bermula dengan perbahasan yang cukup tinggi kalau kita rajin mencari, ia berkenaan dengan adab. Saya bawakan satu dalil disini (pohon perbetulkan sekiranya salah).

Tidaklah Nabi Muhammad diangkat menjadi rasul selain daripada menyempurnakan adab manusia.


Sekiranya kita telusuri dengan sedalam-dalamnya perihal adab bukanlah perihal picisan semata-mata. Sebagai huraian saya mohon anda klik  sini.

*sila rujuk ustaz/ustazah jika ada kekeliruan

Subhanallah, beradabkah saya?. Teringat saya takrifan ketamadunan oleh Sarjana Islam Ibnu Khaldun. Beliau memandang tamadun itu berdiri apabila sesuatu negara itu bukan sahaja membangun dari aspek zahiriah semata (pembangunan fizikal, banggunan cakaran langit dll) sebaliknya merangkumi aspek rohaniah juga. Manusia yang mendiami ketamadunan tersebut kaya dengan adab tatasusila. Pada hemat saya Ibnu Khaldun cuba menyatakan bahawa pembangunan rohaniah itu seakan sebati dalam pembudayaan jati diri mereka. Begitu jugalah pendapat yang dinyatakan oleh Prof. Syed Naquib Al-Attas. Sangat panjang lebar perihal adab ini.InsyaAllah berkesempatan  saya kongsikan dalam kupasan khas.

12.58 malam, sampai giliran rumah terakhir untuk saya dan rombongan surau melaungkan takbir. Ziarah singkat diiring laungan takbir memuji kebesaran Allah SWT pada malam 1 Syawal melabuhkan tirainya. Menarikkah penulisan saya ini? mungkin ya dan mungkin tidak untuk sesetengah orang. Namun apa yang pasti saya ingin berkongsi perihal raya saya pada malam 1 Syawal di Kampung kediaman saya serta keluarga. Ya, ziarah-menziarahi melaungkan takbir! Itulah warisan kebudayaan di kampungku tercinta. Bilang orang tua-tua budaya kunjung-mengunjung ini harus kita teruskan. Kalau ditinggalkan BERBUDAYAKAH KITA? 

Sunday, September 12, 2010

Perihal Raya : Berbudayakah kita? Bahagian 1

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Penyayang

Maka tamatlah kisah riwayat Ramadhan 1431 hijrah. Klasik betul permulaan bicara mata pena kali ini. Mungkin kerana sejak akhir-akhir ini saya merasakan yang lama (tak kisah la klasik ke retro ke season ke) lebih baik dari yang baru. Bukan hendak menafikan yang baru (moden boleh juga) itu baik akan tetapi alam telah menyaksikan segala-galanya. Sejarahpun sudah menjadi bukti bahawa tiap yang lama itu lebih baik dari yang baru. Saya tinggalkan dulu perbahasan lama dan baru ini mungkin untuk penulisan akan datang.



Cerita rayaku

Alhamdulillah, hari ini umat islam sekali lagi dikurniakan Allah taala untuk menikmati kemenangan dibulan syawal (sekalipun ada yang telah pergi). Sebulan lamanya memburu Piala Ketaqwaan akhirnya temasya ibadah ini berakhir. Berakhirkah? moga-moga Allah swt mengurniakan semangat ramadhan yang tidak berpenghujung ke atasku. Seperti kebiasaannya saya dan keluarga akan meraikan syawal yang pertama di rumah kediaman. Selepas solat aidilfitri baru pulang ke kampung sebelah abah di Tapah kemudian selepas asarnya terus ke kampung sebelah emak di Manjoi. Ye, saya rakyat PERAK!! (terpaksa tulis juga sebab ada yang keliru dengan pertuturan saya). Tradisi turun-temurun surau kawasan perumahan saya (Al-Falah namanya) malam 1 syawal kami masyarakat kampung akan buat roadtour rumah ke rumah melaungkan takbir tanda ketibaan syawal. Oleh kerana kawasan yang luas terpaksa AJK surau bahagi kepada empat kumpulan untuk bertakbir. Sebagai perantau (Wah!) saya tidak melepaskan peluang untuk turut bersama. Bila lagi peluang untuk saya mengenali tetangga kalau bukan dibulan syawal. Maklumlah dibulan lain SIBUK  dengan rutin sebagai seorang Guru Pelatih.

Yang lainnya untuk syawal kali ini rumah saya telah dipilih sebagai rumah pertama untuk dikunjungi rombongan surau. Agak kelam-kabut dibuatnya. Manakan tidak semua ahli keluarga saya mengerjakan solat isya' di surau. Terpaksa berlari balik ke rumah menyediakan juadah. Walaupun hasilnya tidak seberapa, tetapi kelihatannya rombongan gembira.

Kisah tetangga

Seperti telah saya katakan dibulan yang mulia ini saya banyak gunakan peluang untuk kembali berkenalan dengan tetangga. Bila sudah berkenalan banyaklah kisah yang diborakkan. Yang menariknya secara sedar atau tidak saya  sebenarnya sedang belajar menyelami kehidupan. Kisah manusia pelbagai ragam dan tabiat saya perhati, dengari dan hayati. Memang saya tidak nafikan bunyinya macam suka dengar orang mengumpat tapi inilah peluang untuk remaja seusia saya ini mengenal kehidupan. Kisah tetangga yang  ditipu, ditimpa musibah dan sebagainya( saya kehilangan kenalan yang saya gelar samseng suatu ketika dulu akibat kemalangan jalan raya pada bulan ramadhan nie Al-Fatihah) boleh dijadikan tauladan. Mungkin ada yang tidak suka dengan kenyataan saya kata mereka buat apa jaga tepi kain orang? Pada saya ia bukan soal jaga tepi kain orang sebaliknya mengambil iktibar dari kisah orang. Bukankah seharusnya kita begitu?. 

Adab kena jaga


"Jom, siap beraya! " Seakan kenal laungan suara itu.
Nantikan Perihal Raya: Berbudayakah kita ? Bahagian 2. InsyaAllah kandungannya berat sikit.

Wednesday, September 8, 2010

tak ada nama lain ke?

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Penyayang

Saat khalayak umat Islam sibuk membuat persiapan hari raya aidilfitri saya pula terkial-kial belajar membuat sesawang 'dari mata pena' ini. Tak mengapalah mungkin ada sesuatu disebaliknya. Sebagai muslim yang sedang mencari arah menuju kepada-Nya saya tidak dapat lari untuk mengejar waktu tatkala Ramadhan berada dipenghujung untuk "topup" ibadah. Tapi biasalah( mungkin sesetengah orang tidak) waktu sibuk-sibuk jemaah lain berselawat keatas kekasih hati Muhammad s.a.w sebagai seruan solat terawikh fikiran saya terbang melayang.....

inijalanku ustaz halim dh guna, apa yang sesuai agaknya?. Dari hati kecil seakan jiwang bunyinya, Dari mata hati? layakkah? Kenapa mesti ada perkataan hati pula? tak lain obses dengan tarbiah yang diterima la tu. Nanti-nanti sampai masa datang ilham agaknya.

"lurus dan rapatkan saf", Imam Surau Al-falah (sikit bangga dengan surau punya pendingin hawa nie)

Dari Mata Pena

Kebetulan dan dengan perancangannya saya putuskan ia sebagai "brand" sesawang saya ini. Kenapa agaknya?
"Dari Mata Pena" menggabungkan tiga patah kata yang tiap satunya punya pengertian yang cukup mendalam pada saya. Ia mungkin lafaz lazim bagi ahli sastera malangnya sudut pandang saya barangkali bertentangan.

Patah kata "Dari" sinonim menuntut kita memahami asal-usul akan sesuatu. Begitulah jua manusia. Dicipta seterusnya dilahirkan dimuka bumi ini kerana ada usulnya. Teringat saya ketika mula-mula saya membuka bicara dengan Tn. Hj Razali (Orang kuat Gabungan Pondok-Pondok Malaysia) sekwatu Daurah di Lata Celak, Kedah. "Bagaimana perjalanan ustaz DARI tadi?" saya bertanya. Dengan penuh ketenangan beliau menjawab "Perjalanan saya belum sampai dari-Nya menuju kepada-Nya". Tersentak hati ini mendengar jawapan beliau. Ia berkenaan DARI.

Mata, Kenapa mata bukan telinga bukan mulut bukan tangan atau bukan jari? Kisah cinta muda mudi pun bermula dengan mata. Bukankah kata orang dari mata turun ke hati. Sheikh Abdul Qadir Al-Mandeli didalam kitab Penawar Bagi Hati pun memulakan bicaranya dengan Mata. Maka pada saya apa salahnya saya kalau ia saya gunakan? Kalau zaman "kolonial reformasi 98' " dulu popular sungguh frasa "Dari Kerana Mata". Sampaikan mahkamah pun turut kena tempiasnya ( peminat politik faham kot). Walau apa pun perihal mata, pada saya ia mewakili pandangan. Dengan mata kita dapat melihat, dengan mata secara sedar atau tidak kita mula menafsir. Dan dengan mata pandangan tapi dikisar menjadi idea, buah fikiran, emosi dan sebagainya, maka mata segalanya bermula pada saya. Tapi macam mana orang buta? Jawapan saya bukankah mereka melihat dengan MATA hati?

Pena atau pen? Dewan Bahasa dan Pustaka ada jawapannya..haha. Sebenarnya suka saya bawa mafhum ayat suci Al-Quran:

yang mengajar (manusia) dengan perantaran "qalam" [ al-Aalaq': 4]

Sekiranya rajin boleh cari tafsiran(pohon mendalami perbahasan) berkenaan ayat tersebut. Bagi yang telah berkesempatan bertemu dengan Habib Hassan Al-Attas, Imam Masjid Ba'alawi S'pore di IPG Kampus Tuanku Bainun dahulu beliau ada menyentuhnya secara tidak langsung. Selain itu juga suka saya memetik ungkapan cerdik pandai barat yang saya ambil dari buku Nahdoh Kebangkitan Asia karangan Anwar Ibrahim yang maknanya lebih kurang tidak adapun sebatang mata pena itu mampu mengalahkan beribu mata senjata. Begitu mendalam maksudnya. Pada saya tidak dapat dinafikan akan peripentingnya Pena. Atas dasar itu saya ambil untuk ia menjadi sebahagian dari hidup saya.

Bila direnungkan kembali hebatnya(pada saya) ungkapan Dari Mata Pena. Mampukah saya memikulnya? moga Allah memudahkan bagiku segala urusanku.

Begitulah kisahnya DARI MATA PENA.....

Monday, September 6, 2010

Buka gelanggang..

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Penyayang

Selawat dan salam ku panjatkan buat junjungan besar Muhammad s.a.w,  kekasih kepada Penciptanya. Ampunkanlah dosaku, kedua ibubapa ku, ahli keluargaku, guru-guru ku, teman impian hatiku, sahabat-sahabatku serta seluruh muslimin dan muslimat. Sesungguhnya  aku memohon kekuatan jua bimbingan  agar apa yg aku lakukan ini hanyasanya atas nama menjulang kalimahMu. Jangan Kau biarkan aku sekalipun sedetik tempoh waktunya. Jadikanlah apa yg ku lakukan ini ilmu yg bermanfaat kpd ummah, hindarilah ia dari memudaratkan ummah. amin..

Sekadar memenuhi hajat sahabat juga diri saya gagahi utk mewujudkan sesawang ini. Tidaklah punya tujuan lain melainkan sebagai ruangan perkongsian ilmu yg tidak seberapa disamping meluahkan rasa. Dengan penuh rasa rendah diri( mmg rendah pun) kelemahan yg ada minta dikongsikan bersama. Moga ia mendatangkan manfaat untuk kita bersama.

Dari Mata Pena
Jamal Abdillah 

Dari mata penaku
Ku luahkan rindu
Dalam warkah biru
Impian mengunjung

Dari mata penaku
Dapatkah Kau baca
Sejuta maknanya

Maafkanlah daku
Andai kaku dalam menyusun bahasa
Ungkapan kata
Kiranya bersimpang dari makna

Inginku nyatakan segalanya
Setiap detik rasa
Agar Kau mengerti semua isi
Yang dalam tersembunyi
Semoga warkahku bagaikan cahaya
Menerangi hatiku yang pudar

Dari mata penaku
Dengarkanlah suara
Hati yang menyinta

Dari mata penaku
Kuluahkan rasa
Dalam warkah biru
Kasih untukMu

salam pembuka gelanggang...