Sunday, September 19, 2010

Perihal Raya : Berbudayakah kita? Bahagian 2

Adab Kena Jaga

sambungan..

Malam menginjak detiknya kepada jam 11.00. Masih terdapat kira-kira sepuluh buah rumah belum saya bersama-sama rombomngan surau melakukan kunjungan untuk bertakbir. Jam 11.15 malam, tiba giliran rumah salah seorang Tuan Imam surau Al-Falah. Kunjungan ke rumah beliau memang saya nantikan bukan untuk bertanya khabar sebaliknya menanti hidangan Mee Goreng Mamak. Ya, selalunya di bulan mulia Syawal khalayak mencari lemang, ketupat, lontong dan pelbagai jenis makanan yang tidak terdapat dibulan lain namun selera saya lain dari yang lain. Memang sudah menjadi tradisi rumah Tuan Imam tadi akan menyediakan Mee Goreng Mamak. Saya yang sejak dari tadi mengosongkan "tangki" amat teruja. Sebaik kaki melangkah masuk ke rumah Tuan Imam Alhamdulillah tepat jangkaan saya. Mee Goreng Mamak! I Like..haha. Setelah  "membantai" juadah yang tersedia seperti biasa bagun Tuan Imam untuk menyampaikan sepatah dua kata. Begitulah budayanya. Tuan rumah akan menyampai sepatah dua kata memohon ampun dan maaf kepada rombongan surau mewakili keseluruhan penduduk kampung setelah rombongan menjamah juadah yang disediakan.

"Saya sebagai tuan rumah mewakili seisi keluarga mengucapkan selamat hari raya aidilfitri,maaf zahir dan batin sekiranya ada yang terlanjur kepada seluruh penduduk"

Begitulah skrip yang biasa saya dengar sejak saya mula menyertai rombongan tersebut. Akan tetapi seakan ada kelainan yang berlaku dirumah Tuan Imam. Sempat beliau memberi nasihat kepada kamipara remaja dan kanak-kanak yang menyertai rombongan.

"Sekalipun kita menaiki motor besar, kereta besar dan segalanya besar jangan kita berlagak sombong. Hormatilah orang tua, mereka tidak minta kita tunduk memberi penghormatan tetapi cukup sekadar menyampaikan kuntuman senyuman".

Ringkas tetapi cukup bermakna kepada saya. Kerana apa? perihal hormat-menghormati dan sifat sombong sebenarnya bermula dengan perbahasan yang cukup tinggi kalau kita rajin mencari, ia berkenaan dengan adab. Saya bawakan satu dalil disini (pohon perbetulkan sekiranya salah).

Tidaklah Nabi Muhammad diangkat menjadi rasul selain daripada menyempurnakan adab manusia.


Sekiranya kita telusuri dengan sedalam-dalamnya perihal adab bukanlah perihal picisan semata-mata. Sebagai huraian saya mohon anda klik  sini.

*sila rujuk ustaz/ustazah jika ada kekeliruan

Subhanallah, beradabkah saya?. Teringat saya takrifan ketamadunan oleh Sarjana Islam Ibnu Khaldun. Beliau memandang tamadun itu berdiri apabila sesuatu negara itu bukan sahaja membangun dari aspek zahiriah semata (pembangunan fizikal, banggunan cakaran langit dll) sebaliknya merangkumi aspek rohaniah juga. Manusia yang mendiami ketamadunan tersebut kaya dengan adab tatasusila. Pada hemat saya Ibnu Khaldun cuba menyatakan bahawa pembangunan rohaniah itu seakan sebati dalam pembudayaan jati diri mereka. Begitu jugalah pendapat yang dinyatakan oleh Prof. Syed Naquib Al-Attas. Sangat panjang lebar perihal adab ini.InsyaAllah berkesempatan  saya kongsikan dalam kupasan khas.

12.58 malam, sampai giliran rumah terakhir untuk saya dan rombongan surau melaungkan takbir. Ziarah singkat diiring laungan takbir memuji kebesaran Allah SWT pada malam 1 Syawal melabuhkan tirainya. Menarikkah penulisan saya ini? mungkin ya dan mungkin tidak untuk sesetengah orang. Namun apa yang pasti saya ingin berkongsi perihal raya saya pada malam 1 Syawal di Kampung kediaman saya serta keluarga. Ya, ziarah-menziarahi melaungkan takbir! Itulah warisan kebudayaan di kampungku tercinta. Bilang orang tua-tua budaya kunjung-mengunjung ini harus kita teruskan. Kalau ditinggalkan BERBUDAYAKAH KITA? 

No comments:

Post a Comment